Maulid Nabi diraikan, Sunnah Nabi yang lebih utama diabaikan

Oleh admin   |   January 23, 2013   |   Berita & Pengumuman   |   Komen Anda


[MUHASABAH DIRI] Seumur hidupku telah ku temui sambutan Maulidur Rasul berkali-kali, tapi berapa banyakkah sunnah-mu telah ku lakukan, sejauh manakah kefahamanku pada isi kandungan kitab al-Quran yang engkau bawa, berapa banyakkah selawatku kepada-mu dalam sehari dan layakkah diriku ini mendapat syafaat dari-mu di hari perhitungan nanti?…

Para penceramah dalam peringatan-peringatan Maulid Nabi s.a.w kerap kali menjelaskan bahawa peringatan Maulid Nabi s.a.w adalah bukti rasa cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. Maka dengan peringatan ini, marilah kita bersama-sama meningkatkan semangat kita dalam menyuburkan Sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Solat jangan malas lagi. Sering-seringlah baca Al-Quran, berzikir dan perbanyakkan membaca selawat. Kerana Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa membaca satu selawat untuknya, pasti Allah akan membalasnya dengan sepuluh selawat”

Persoalannya adakah cukup dengan kita sekadar memuji-muji baginda baginda yang sudah semestinya beliau adalah seorang manusia yang terpuji, tetapi dalam masa yang sama sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang wajib dan lebih utama dan penting kita abaikan? Bukankah itu menunjukkan bahawa kita sedang berpura-pura dan mempermainkan baginda s.a.w? Seolah-oleh pujian suami kepada isterinya, “Aku cinta padamu…, Wajahmu ibarat bulan purnama.., Lautan api akan ku renangi..”. Tetapi apabila sang isteri meminta supaya angkat gas di dapur atau membantunya di rumah, sang suami buat tak tahu saja. Bukankah suatu penghinaan juga terhadap Rasulullah s.a.w selaku utusan Allah s.a.w? Sedangkan kita semua sudah sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w adalah contoh ikutan yang terbaik bagi kita dalam seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam bab pemerintahan. Ketahuilah bahawa sunnah Nabi yang paling besar adalah menegakkan Negara Islam.

Inilah kejayaan musuh-musuh Islam menyerang pemikiran umat Islam seluruh dunia. Umat Islam yang telah terbius dengan bisa pemikiran sekular ini telah merasakan bahawa cukuplah dengan sekadar membanyakkan bacaan selawat dan qasidah yang mengandungi bait-bait syair pujian yang melambung-lambung sebagai bukti kecintaan mereka kepada Rasulullah s.a.w  dan tidak lebih daripada itu. Sedarlah, kelahiran Rasulullah s.a.w  itu adalah menandakan kelahiran Islam. Islam adalah  sebuah deen (cara hidup yang sempurna) yang diturunkan oleh Allah s.w.t  kepada baginda s.a.w  untuk mengatur urusan manusia dengan Tuhannya, mengatur urusan manusia dengan dirinya sendiri, dan juga mengatur urusan manusia dengan manusia yang lain.

Amat berbeza sekali terjemahan cinta para sahabat Nabi dengan cinta kita pada zaman ini. Jika dahulu para sahabat yang mengatakan bahawa mereka mencintai Rasulullah s.a.w, mereka telah menterjemahkan nilai dan harga kecintaan itu dengan berjuang bersama-sama Rasul untuk menegakkan kehidupan Islam dalam kehidupan mereka. Buktinya adalah dengan keberhasilan tertegaknya sebuah Daulah Islam di Madinah, seterusnya dikembangkan kehidupan Islam dan Negara Islam ini sehinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniyyah di Turki, memerintah dunia selama lebih daripada 1300 tahun dan merangkumi dua pertiga dunia. Sungguh malang pada hari ini, pemahaman sebegini sudah sukar untuk kita dapati. Apa yang wujud hanyalah sekadar bacaan dan laungan yang bersifat ruhiyah untuk membuktikan kononnya kita adalah pencinta agung Rasulullah s.a.w. Sudah sampai masanya umat Islam hari ini dikejutkan daripada khayalan mimpi yang memandulkan fikrah atau cara berfikir dan thariqah (jalan) mereka daripada Islam yang sebenar.

Marilah kita sama-sama melihat bagaimanakah cara yang sebenar untuk kita menunjukkan kecintaan kita kepada junjungan besar yang kita kasihi ini.

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu” [al-Ahzab (33):21]. Ayat ini membawa pengertian bahawa satu-satunya contoh yang wajib diikuti oleh umat Islam ialah Rasulullah s.a.w dan baginda wajib dicontohi oleh umat Islam dalam segenap aspek, bukan hanya dalam aspek-aspek tertentu sahaja seperti berpakaian, solat, puasa, zakat dan selainnya. Islam adalah satu agama sekali gus sebuah ideologi dan cara hidup yang unik. Al-Quran dan as-Sunnah, yang menjadi landasan dalam kehidupan umat Islam, secara jelas dilengkapkan secara sempurna  oleh peribadi Rasulullah s.aw. Dengan kata lain, Muhammad s.a.w merupakan ikon untuk kita memahami tindakan yang betul tentang Islam secara keseluruhan dari A hingga Z. Di samping itu, kita diseru agar mencintai peribadi yang mulia lagi agung ini. Kecintaan kita kepada baginda tidak cukup hanya melalui keyakinan batiniah (kalbu) sahaja, tetapi wajib dizahirkan melalui aktiviti lahiriah (fizikal), iaitu dengan mengikuti setiap perilaku baginda dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya. Kewajipan untuk meneladani dan mencintai baginda tidak boleh sekali-kali dibataskan hanya pada hal ibadat dan akhlak sahaja tetapi wajib dimanifestasikan dalam seluruh aktiviti kehidupan seperti Hibah, Wasiat, Pengurusan Harta Pusaka, Jinayat, Ta`zir, Diyat, Qisas, Pemerintahan, Ekonomi, Pendidikan, Pergaulan, Politik, Jihad dan semuanya.

Perlu difahami bahawa mencintai Allah dan Rasul adalah satu kewajipan, malah wajib melebihi kecintaan kita kepada sesiapa sahaja di dunia ini. Firman Allah s.w.t,

“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-mara, isteri-isteri dan kaum keluarga kamu, juga harta dan kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takut kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya, maka tunggulah  sampai Allah mendatangkan keputusan (azab)Nya.’ Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang fasik” [at-Taubah (9):24].

Ayat ini menjadi dalil bahawa setiap Muslim wajib meletakkan kecintaan kepada Allah s.w.t  dan RasulNya pada kedudukan yang paling atas, malah kecintaan kepada Allah dan RasulNya ini sekali gus menjadi parameter atau bahan ukur untuk mengukur kadar keimanan seseorang Muslim.

Kefahaman yang seerti dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan dari Anas r.a di mana ia berkata Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tidak beriman seorang hamba hingga aku lebih dicintainya daripada keluarganya, hartanya dan seluruh manusia lainnya” [HR Mutafaq ‘alaih].

Kecintaan kita kepada Rasulullah wajib melebihi daripada kecintaan kepada diri kita sendiri.

Cara yang benar di dalam mencintai dan mengagungkan Rasulullah s.a.w  adalah dengan meneladani Rasulullah s.a.w  secara total, tidak boleh secara bahagian-bahagian tertentu saja seperti firman Allah s.w.t :

“Maka adakah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan dikembalikan mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan” [al-Baqarah (2):85].

Lebih buruk, sekiranya seseorang itu menyatakan bahawa ia cintakan Rasulullah, tetapi hakikatnya ia senantiasa melakukan apa yang bertentangan dengan perintah Rasulullah SAW.

Komen Anda

Selamat Datang ke My Arab Quran!

Info Terkini!

Bukan ahli? Daftar sekarang!

Kelebihan sebagai Ahli!

Laman web pembelajaran Bahasa Arab Quran secara interaktif yang pertama di Malaysia. Megandungi lebih dari 20 silibus yang lengkap dengan latih tubi yang interaktif.

Login Ahli

Hilang Kata laluan?

Hilang Kata laluan?

Balik ke Login