Al-Quran BUKAN sekadar dibaca dan didengari sahaja atau menjadikannya ibadah bermusim

Oleh admin   |   August 13, 2012   |   Berita & Pengumuman   |   Komen Anda


Sungguh pantas rasanya masa berlalu, kita sudah pun memasuki  10 hari  terakhir bulan Ramadhan yang amat dinanti-nantikan bagi pemburu malam laitatu al-Qadr, bulan di mana pintu-pintu syurga terbuka luas dan pintu-pintu neraka tertutup rapat dan juga syaitan-syaitan terbelunggu. Ramdahan adalah bulan istimewa yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk manusia yang cukup syarat berpuasa, sebagai ibadah wajib dari makhluk untuk-Nya. Dia telah menjadikan bulan ini sebagai bulan yang mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan berbanding bulan-bulan lain sebagai anugerah istimewa kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan yang berlipat ganda dan kemuliaan apabila di bulan ini jugalah Allah s.w.t menurunkan kitab-Nya yang terakhir, Al-Quran Kareem kepada Rasul-Nya yang terakhir Muhammad bin Abdullah s.a.w. Firman Allah s.w.t

“Bulan Ramadhan, bulan yang di turunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan mengandungi penjelasan-penjelasan bagi petunjuk itu serta pembeza (antra haq dan batil)” [al-Baqarah 2: 185]

Pada bulan Ramadhan juga terdapat satu malam (laitatu al-Qadr) yang lebih baik dari seribu bulan satu ganjaran istimewa khas untuk umat Muhammad kerana umatnya tidak memiliki umur yang panjang seperti umat-umat lain. Maka di ibaratkan seperti mereka mendapat pahala seperti beribadah 83 tahun 4 bulan. Di bulan ini juga, ramai Muslim yang mengambil kesempatan dan merebut peluang membaca Al-Quran dan berusaha untuk mengkhatamkan 30 juzuk bacaan. Walaupun di luar bulan Ramadhan mereka tidak pernah menghabiskan bacaan 1 juzuk sekalipun atau lebih malang lagi mereka tidak pernah menyentuh Al-Quran melainkan membaca surah yasin pada hari jumaat dan majlis-majlis tertentu atau ayat-ayat lazim sahaja. Di sepanjang malam bulan Ramadhan pula, ramai para imam huffaz sama ada dari dalam negara atau dari tanah arab dijemput mengimami solat tarawih di masjid-masjid demi memperdengarkan kelunakan taranum mereka bagi menambah kekhusyukan para makmum. Pendek kata, di dalam bulan yang mulia ini, kaum Muslimin berlumba-lumba dan berusaha mendampingkan diri mereka dengan Al-Quran.

Walau bagaimanapun usaha mendekatkan diri dengan Al-Quran di bulan Ramadhan ini patut dipuji, namun persoalannya adalah, sejauh manakah kaum Muslimin bertadabbur (memahami dan meneliti isi kandungan) Al-Quran yang mereka baca? Allah pernah menempelak bagi orang yang tidak mahu bertadabbur dengan firman-Nya

“Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” [Muĥammad 47: 24]

Sejauh manakah tersentuh dan tergetar hati mereka setiap kali ayat-ayat suci Al-Quran itu dibaca bukan sekali dua tetapi setiap kali didengar dan dibaca di dalam bulan Ramadhan atau pada bulan-bulan lain. sebagaimana firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, maka bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah” [Al-'Anfāl 8: 2].

Kaum Muslimin sepatutnya peka dan ambil perhatian terhadap mesej yang ingin disampaikan oleh sang pencipta (Allah s.w.t) kepada khalifahnya (manusia) di muka bumi inil, sesuai pada setiap zaman malah sentiasa hidup mekar dalam hati lalu di terjemahkan dalam kehidupan mereka.

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. [Şād 38: 29]

Dari satu aspek, bagaimana mungkin seseorang dapat menghayati maksud Al-Quran yang tersurat dan tersirat sekiranya ia tidak mempelajari dan memahami bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Quran? Kerana ia tidak dapat difahami dengan baik lagi jelas melainkan sesiapa yang mempelajari bahasa itu sendiri oleh kerana  ada beberapa perkatan atau istilah yang sukar di terjemahkan dari maksud asalnya.

Dari aspek lain yang lebih penting, seseorang Muslim itu haruslah memahami bahawa Al-Quran bukanlah sekadar untuk dibaca atau didengari sahaja, tetapi mesti diamalkan isi kandungannya. Ini kerana, membaca Al-Quran adalah bernilai sunat manakala mengamalkannya adalah bernilai wajib! Justeru, apa yang harus diperhatikan di sini adalah, sejauh manakah kaum Muslimin telah melaksanakan ajaran Al-Quran di dalam kehidupan mereka? Aisyah ra pernah menyifatkan Rasulullah SAW sebagai Al-Quran yang berjalan, yang bermaksud bahawa Rasulullah SAW adalah orang yang mempraktikkan (melaksanakan) seluruh ajaran Al-Quran di dalam kehidupannya. Jadi, kita harus tanya diri kita, sejauh manakah kita telah mempraktikkan Al-Quran di dalam kehidupan? Sejauh manakah kita telah berusaha untuk menjadikan diri kita sebagai Al-Quran yang berjalan, sebagai usaha untuk kita mencontohi Rasulullah SAW?

Sesiapa sahaja yang membaca Al-Quran mengetahui bahawa Allah SWT menghina dan menggelar golongan yang tidak mengamalkan kitabNya seperti keldai. FirmanNya,

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”
[Al-Jumu`ah 62:5].

Rasulullah SAW pula menyamakan orang yang membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkannya seperti Yahudi dan Nasara. Ziyad bin Labid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berbicara tentang sesuatu, lalu bersabda,

“Akan tiba satu masa di mana ilmu itu akan hilang.’ Ziyad berkata, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana ilmu boleh hilang sedangkan kita membaca Al-Quran dan mengajarkannya kepada anak-anak kita dan anak-anak kita membaca Al-Quran dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka sehinggalah hari Kiamat.’ Baginda menjawab, ‘Wahai Ziyad, semoga ibumumenangisimu, aku kira engkau adalah orang yang sangat memahami agama di Madinah. Adakah engkau tidak melihat bahawa orang-orang Yahudi dan Nasara juga membaca Taurat dan Injil, tetapi mereka langsung tidak mengamalkan isinya?” [HR Ahmad, Ibnu Majah, Tarmizi].

Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kitab Al-Quran di bulan Ramadhan bukan sekadar untuk dibaca. Ia adalah untuk dibaca, difahami dan diamalkan. Inilah apa yang wajib dilakukan oleh umat Islam yakni menjadikan Al-Quran sebagai kitab amalan yang hidup dalam kehidupan mereka dari sudut akhlak, ekonomi, pembahagian harta pusaka, perniagaan, pemerintahan dan segalanya berpaksikan pada sumber rujukan yang utama bagi umat Islam, maka apa sahaja yang bertentangan dengannya adalah salah dan ditolak kerana menjadikan Al-Quran sebagai dustur adalah wajib tanpa meragui sepotong ayatpun. Ingatlah bahawa hanya dengan mengamalkan Al-Quran manusia itu pasti dipimpin dan dengan meninggalkan Al-Quran manusia menjadi sesat dan celaka.

Sesungguhnya orang-orang yang kufur serta berlaku zalim, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kepada mereka: Selain dari jalan neraka jahanam, yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya; dan balasan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.[ An-Nisā' 4; 164, 165]

Komen Anda

Selamat Datang ke My Arab Quran!

Info Terkini!

Bukan ahli? Daftar sekarang!

Kelebihan sebagai Ahli!

Laman web pembelajaran Bahasa Arab Quran secara interaktif yang pertama di Malaysia. Megandungi lebih dari 20 silibus yang lengkap dengan latih tubi yang interaktif.

Login Ahli

Hilang Kata laluan?

Hilang Kata laluan?

Balik ke Login